NILAI, 18 Disember 2025 – Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Pusat Pematuhan Syariah Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (I-ROSH) telah menganjurkan Konvensyen Kesedaran Jenayah Syariah dalam Kalangan Belia bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran generasi muda terhadap aspek perundangan, hak serta tanggungjawab dalam kerangka undang-undang Syariah.
Konvensyen yang berlangsung di kampus USIM ini menghimpunkan pelbagai pihak termasuk ahli akademik, pengamal undang-undang, wakil agensi kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi serta masyarakat umum bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan jenayah Syariah dan cabaran pelaksanaannya dalam konteks masyarakat masa kini. Program ini turut menjadi platform penting dalam memperkukuh dialog ilmiah serta memupuk kefahaman yang lebih menyeluruh mengenai peranan undang-undang Syariah dalam membentuk masyarakat yang beretika dan bertanggungjawab.
Program dimulakan dengan sesi wacana ilmiah bertajuk “Jenayah Syariah: Memahami Undang-Undang, Hak & Tanggungjawab Belia” yang menampilkan barisan panel berpengalaman terdiri daripada ahli akademik Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM serta wakil daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Sesi tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai konsep asas jenayah Syariah, prinsip – prinsip keadilan yang mendasarinya serta kepentingan pemahaman undang-undang dalam kalangan belia bagi mengelakkan salah faham terhadap pelaksanaannya.
Konvensyen diteruskan dengan sesi dialog santai bertajuk “Jenayah Syariah dari Perspektif Belia: Adil atau Menghukum” yang membuka ruang interaksi secara lansung antara panel dan peserta. Melalui sesi ini, para peserta berpeluang mengemukakan pandangan, pertanyaan dan cadangan berkaitan isu-isu semasa yang melibatkan undang-undang Syariah, sekali gus menggalakkan budaya perbincangan yang sihat dan berasaskan ilmu.
Majlis perasmian konvensyen telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan meningkatkan literasi perundangan Syariah dalam kalangan generasi muda agar mereka dapat memahami fungsi dan tujuan undang – undang tersebut secara tepat, seterusnya menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang berakhlak, berintegriti dan menghormati prinsip keadilan.
Turut hadir ialah Naib Canselor USIM, barisan pengurusan universiti, wakil agensi kerajaan serta jemputan kehormat daripada pelbagai institusi yang menunjukkan sokongan terhadap usaha memperkukuh kesedaran undang-undang Syariah dalam kalangan belia.
Sebagai kemuncak program, para peserta disajikan dengan persembahan interaktif Mock Trial Syariah bertajuk “Bayang di Sebalik Zikir” yang dipersembahkan oleh Kelab MUT Syariah USIM. Persembahan tersebut berjaya memberikan gambaran praktikal mengenai tatacara dan proses perbicaraan di Mahkamah Syariah melalui pendekatan yang lebih santai, menarik dan mudah difahami, sekali gus meningkatkan penghayatan peserta terhadap sistem perundangan Syariah.
Penganjuran konvensyen ini mencerminkan komitmen berterusan FSU USIM dalam memperkasakan pendidikan dan kesedaran undang – undang Syariah melalui pendekatan yang inklusif, interaktif dan berimpak tinggi. Program seumpama ini diharapkan dapat melahirkan generasi belia yang celik undang – undang, berfikiran kritis serta mampu menjadi agen perubahan dalam membina masyarakat yang harmoni, beretika dan bertanggungjawab.