Lawatan SMKA Johor Bahru ke Fakulti Syariah Undang-undang

//Lawatan SMKA Johor Bahru ke Fakulti Syariah Undang-undang

15 Januari 2025, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menerima kunjungan daripada rombongan pelajar dan guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru. Lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai peluang pendidikan tinggi khususnya di FSU USIM serta mendalami kelebihan program akademik yang ditawarkan.

Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Program Sarjana Muda Syariah (Industri Halal) dengan Kepujian, Dr. Siti Syahirah Saffinee. Dalam ucapannya, beliau memperkenalkan kelebihan dan manfaat belajar di USIM secara umum dan FSU secara khusus. Beliau turut menerangkan secara ringkas program pengajian yang ditawarkan di FSU seperti Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang (SMUS), Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa (SMFF), serta Sarjana Muda Syariah (Industri Halal) (SMSIH).

Sesi seterusnya adalah ucapan daripada wakil guru pengiring SMKA Johor Bahru, Puan Khamrina Binti Haris. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa penghargaan atas kesudian FSU menerima lawatan ini. Beliau turut menyatakan harapan agar hubungan erat antara institusi pendidikan ini dapat diteruskan untuk manfaat bersama.

Selain itu, wakil pelajar tahun akhir Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang (SMUS), saudara Firuz Dilamy Badrul Izham, turut berkongsi pengalaman dan pandangannya mengenai kelebihan belajar jurusan undang-undang di USIM. Beliau menekankan aspek unik program ini yang mengintegrasikan ilmu syariah dan undang-undang moden, sekaligus melahirkan graduan yang holistik dan kompetitif.

Acara diteruskan dengan lawatan ke Makmal Falak Digital Learning Space (FDLS) yang menjadi tarikan utama di FSU USIM. Saudara Thariq dan Lukmanul Hakim, mantan ahli Kelab USIM Astrofiqh, memberikan penerangan menarik mengenai stesen-stesen dan komponen-komponen dalam Makmal Falak. Demonstrasi interaktif ini membuka peluang kepada para pelajar untuk memahami kepentingan falak dalam pelbagai aspek kehidupan.

Majlis berakhir dengan sesi penyampaian cenderahati oleh Dr. Siti Syahirah Saffinee kepada wakil SMKA Johor Bahru. Lawatan ini bukan sahaja memperluaskan perspektif para pelajar mengenai peluang pendidikan tinggi, malah turut mengukuhkan hubungan antara FSU dan institusi pendidikan lain.

2025-03-04T09:19:10+08:00