19 Disember 2024, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), telah menganjurkan Program Kesedaran Jenayah Syariah dalam Kalangan Mahasiswa dengan kerjasama Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (JPeNS) dan Pusat Pematuhan Syariah, Integriti, Risiko, dan Keselamatan (SCIROSH). Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada mahasiswa tentang jenayah syariah serta kepentingan pematuhan hukum syarak dalam kehidupan seharian. Seramai 200 peserta termasuk mahasiswa, pensyarah, dan staf universiti hadir dalam program ini.
Acara ini telah dirasmikan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Mushaddad Hasbullah, Yang Menjalankan Tugas Dekan FSU. Program ini melibatkan ceramah bertajuk Pendakwaan di bawah Enakmen Jenayah Syariah yang disampaikan oleh Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, YM Tuan Raja Mazelan Raja Deraman dan sesi perkongsian pengalaman oleh pegawai JPeNS yang membincangkan peruntukan undang-undang berkaitan jenayah syariah di Negeri Sembilan. Sesi ini turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk memahami perjalanan kerjaya sebagai pegawai syariah.
Pelaksanaan program ini menonjolkan kolaborasi kukuh antara pelbagai pihak termasuk Persatuan Mahasiswa Fakulti Syariah dan Undang-Undang (PMFSU) serta Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa (SRIM). Pelbagai aktiviti telah disusun termasuk sesi soal jawab interaktif dan kuiz kesedaran yang menyemarakkan semangat peserta. Sambutan hangat daripada peserta membuktikan program ini berjaya mencapai objektifnya untuk meningkatkan kefahaman terhadap isu-isu jenayah syariah.
SCIROSH komited untuk terus menganjurkan program yang membentuk jati diri mahasiswa berlandaskan prinsip Islam. Program ini diharapkan dapat menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif memartabatkan pemahaman syariah dalam kalangan mahasiswa, sejajar dengan visi USIM sebagai Universiti Islam terkemuka.