18 Disember 2024, Seminar Antarabangsa Usul Fiqh (i-SUFI 2024) telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Nilai Springs Resort Hotel, Nilai, Negeri Sembilan. Program ini dianjurkan oleh Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan matlamat untuk menyediakan platform perbincangan bagi sarjana dan pengkaji dalam bidang Usul Fiqh dan Fiqh. Program ini juga menjadi ruang strategik untuk berkongsi pandangan dan inovasi dalam bidang tersebut.
Sesi ucaptama pertama disampaikan oleh Pengarah Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), USIM, Prof. Dr. Azman Ab Rahman yang membincangkan inovasi dalam Usul Fiqh, diikuti oleh Prof. Dr. Irwan Mohd Subri, Prof. Dr. Mohamed El Tahir El Mesawi dari Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. H. Zainuddin dari Universitas Islam Negeri Mahmud Yunus Batusangkar Jambi, Indonesia,dan juga YBhg. SS Profesor Dato’ Dr. Asmadi bin Mohamed Naim, Mufti Kerajaan Negeri Pahang. Majlis perasmian berlangsung pada jam 12.30 tengah hari dan telah dirasmikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Pahang, YBhg. SS Profesor Dato’ Dr. Asmadi Bin Mohamed Naim.
Program ini dihadiri oleh lebih 150 peserta terdiri daripada sarjana, penyelidik, pelajar pascasiswazah, dan pengamal industri. Sambutan yang memberangsangkan membuktikan minat dan keperluan kepada perbincangan ilmiah dalam Usul Fiqh sebagai salah satu bidang ilmu Islam yang terus relevan dalam konteks global.
Seminar Antarabangsa Usul Fiqh (i-SUFI 2024) berjaya mencapai objektifnya untuk memupuk perbincangan akademik dan membina jaringan antara sarjana serta institusi yang terlibat. Fakulti Syariah dan Undang-Undang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menjayakan program ini, terutamanya para penceramah, peserta, dan pihak penaja. Semoga i-SUFI 2024 menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha penyelidikan dan inovasi dalam bidang Usul Fiqh di masa hadapan.