PROGRAM SULAM FSU 2026 (KARISMA : Karnival Rundingcara, Insan, Syariah, Manfaat Halal dan Alam)

//PROGRAM SULAM FSU 2026 (KARISMA : Karnival Rundingcara, Insan, Syariah, Manfaat Halal dan Alam)

NILAI, 4 Julai 2026 – Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (CETL) USIM buat julung kalinya telah berjaya menganjurkan Program SULAM FSU 2026 bertempat di Masjid Abu Al Darda’ (MAAD), Nilai Impian bertemakan KARISMA (Karnival Rundingcara, Insan, Syariah, Manfaat Halal dan Alam).

Melalui pelbagai pameran interaktif dan aktiviti, program SULAM kali ini menjadi medan utama buat 367 orang mahasiswa FSU daripada 7 kursus akademik untuk melaksanakan agenda pemindahan ilmu (Knowledge Transfer) kepada komuniti setempat. Pendekatan yang kreatif dan berinovasi telah digunakan dalam merancang pelbagai aktiviti interaktif demi menyediakan solusi terbaik bagi kesejahteraan Bersama. Kursus-kursus tersebut adalah Rundingcara dan Sulh, Prosedur Penyelesaian Pertikaian Alternatif, Halal Farmaseutikal, Pengeluaran Makanan Halal, Penyembelihan Halal, Aspek Perundangan Kewangan Islam dan Undang-undang Alam Sekitar.

Lebih mengujakan, lebih daripada 200 orang peserta yang terdiri daripada penduduk sekitar Nilai telah hadir memeriahkan dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan! Kesudian dan sokongan padu daripada komuniti setempat ini amat kami hargai. Pihak FSU USIM ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua warga Nilai yang hadir. Kehadiran dan penglibatan aktif anda semua menjadi tonggak utama yang menyebabkan seluruh objektif pemindahan ilmu program ini dapat dicapai dengan jayanya.

Sepanjang program, para pengunjung telah menyertai pelbagai pengisian menarik:

1. Zon Khidmat Nasihat Perundangan & Mediasi yang dikendalikan oleh Klinik Guaman FSU (KGU). Acara turut diserikan dengan sesi simbolik pertukaran cenderahati antara KGU FSU dan MAAD bagi memeterai hasrat jalinan kerjasama antara kedua-dua belah pihak. Forum “The Art of Peace in Islam” yang mengupas pendekatan kedamaian dalam Islam.

2. Zon Modul Bersepadu FSU: Pameran interaktif menggunakan konsep “Pasport Program” merangkumi kesedaran alam sekitar, perbankan Islam, serta produk makanan & farmaseutikal halal. Amali penyembelihan patuh Syariah 70 ekor ayam dan 2 ekor kambing bersama komuniti, yang kemudiannya dibawa terus ke aktiviti rewang.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Jawatankuasa KARISMA atas komitmen luar biasa dalam menyelaraskan program interaktif ini. Terima kasih juga diucapkan kepada rakan kolaborasi utama kami, Masjid Abu Al Darda’ Nilai Impian, serta barisan penaja prihatin yang mendokong penuh program ini: Pusat Waqaf dan Zakat (PWZ) USIM, Institut Fatwa dan Halal USIM (IFFAH), J.CO Donuts & Coffee, ZUS Coffee dan Mamee Double Decker.

Program diakhiri dengan aktiviti gotong-royong pembersihan kawasan masjid dan jamuan makan tengahari hasil rewang bersama ahli kariah.

Semoga usaha murni pemindahan ilmu (Knowledge Transfer) melalui pendekatan SULAM ini memberi impak yang berpanjangan buat seluruh komuniti Nilai Impian dan berdekatan dan diharap mampu membentuk mahasiswa FSU yang kompeten serta berjiwa Masyarakat.

2026-07-08T10:57:11+08:00