Peluncuran Jurnal Al-Taqrir

//Peluncuran Jurnal Al-Taqrir

SEREMBAN, 15 April 2026 – Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh peranannya dalam memperkasa wacana perundangan Syariah negara menerusi peluncuran Al-Taqrir: Jurnal Perundangan Syariah, jurnal dalam talian pertama seumpamanya di Malaysia, sempena Konvensyen Kehakiman & Perundangan Syariah Kebangsaan (KOPKES 2026).

Konvensyen yang berlangsung di Klana Resort Seremban ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) dan USIM, sekali gus mencerminkan sinergi kukuh antara institusi akademik dan institusi kehakiman dalam usaha memartabatkan sistem perundangan Syariah di Malaysia.

Program ini menghimpunkan pengamal undang-undang, ahli akademik serta pelajar dari seluruh negara sebagai platform penting bagi memperkukuh wacana ilmiah berkaitan kehakiman dan perundangan Syariah. Bertemakan “Mengenali Adat Perpatih: Keistimewaan Kedudukan Wanita dalam Pemilikan Harta”, konvensyen ini mengetengahkan pelbagai pengisian ilmiah termasuk ucaptama dan forum yang membincangkan integrasi antara prinsip Syariah dan adat dalam pengurusan harta.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, yang turut menyaksikan peluncuran rasmi jurnal tersebut sebagai manifestasi komitmen dalam memperkukuh hubungan antara dunia akademik dan institusi kehakiman Syariah. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa Negeri Sembilan berpotensi untuk muncul sebagai hab intelektual perundangan Syariah dan adat yang disegani serta menjadi rujukan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Menurut beliau, penerbitan Al-Taqrir merupakan langkah progresif dalam mendokumentasikan khazanah perundangan serta penghakiman Syariah untuk manfaat dunia akademik dan pengamal undang-undang.

Naib Canselor USIM, Sharifudin Md Shaarani pula menyifatkan kerjasama ini sebagai langkah sulung yang signifikan dalam menggabungkan kepakaran akademik dan amalan kehakiman. Beliau menegaskan bahawa jurnal ini berpotensi menjadi wadah rujukan utama dalam memperkasa dokumentasi serta perkembangan sistem perundangan Syariah di Malaysia.

2026-06-11T14:30:42+08:00