Majlis Pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) USIM dan JKSNS

//Majlis Pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) USIM dan JKSNS

NILAI, 16 Mac 2026 – Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh peranannya dalam memartabatkan perundangan Syariah negara melalui penglibatan aktif dalam pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) strategik antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS). 

Majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Naib Canselor USIM itu menandakan komitmen bersama kedua – dua institusi dalam memperkasakan pembangunan ilmu dan penyelidikan perundangan Syariah melalui penerbitan jurnal ilmiah khusus bertajuk “Al-Taqrir: Jurnal Perundangan Syariah Negeri Sembilan.” Inisiatif ini dilihat sebagai satu langkah signifikan ke arah memperkukuh sumber rujukan akademik dan profesional yang berautoriti dalam bidang kehakiman dan perundangan syariah. 

Penerbitan jurnal tersebut digerakkan oleh FSU USIM dengan sokongan kepakaran daripada Centre of Research for Fiqh Forensics and Judiciary (CFORSJ) serta Penerbit USIM. Kerjasama ini bertujuan memastikan setiap penerbitan memenuhi standard ilmiah yang tinggi, berkualiti dan mampu menyumbang kepada perkembangan wacana perundangan Syariah di peringkat kebangsaan serta antarabangsa. 

Melalui gabungan kepakaran akademik daripada USIM dan pengalaman praktikal daripada JKSNS, jurnal ini dijangka menjadi platform penting bagi penerbitan hasil penyelidikan, analisis kes serta perbincangan isu-isu semasa berkaitan perundangan dan kehakiman Syariah. Malah, jurnal ini berpotensi menjadi rujukan utama kepada hakim syarie, pegawai perundangan, ahli akademik, penyelidik dan pelajar yang mendalami bidang tersebut. 

Selain memperkukuh hubungan strategik antara institusi akademik dan badan kehakiman, pemeteraian MoA ini turut mencerminkan komitmen berterusan USIM dalam mengaplikasikan konsep integrasi ilmu Naqli dan Aqli secara praktikal. Pendekatan ini selaras dengan aspirasi universiti untuk menyumbang kepada pembangunan sistem perundangan Syariah yang lebih progresif, relevan dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran semasa. 

FSU USIM optimis bahawa kerjasama strategik ini akan membuka lebih banyak peluang kolaborasi dalam bidang penyelidikan, penerbitan ilmiah dan pembangunan kepakaran, sekali gus memperkukuh kedudukan institusi perundangan Syariah negara serta menyumbang kepada kemaslahatan ummah secara berterusan. 

2026-06-11T14:28:20+08:00