NILAI, 25 September 2025 – Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah berjaya melaksanakan Hari Pendaftaran Pelajar bagi program Diploma Lepasan Ijazah – Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) bagi Sesi Akademik A251 Oktober 2025/2026. Program ini berlangsung serentak di dua lokasi iaitu Dewan Kuliah Fakulti (DKF) 1.1, FSU USIM Nilai dan Bilik Seminar 5, Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial, UMS Sabah.
Seawal jam 8.00 pagi, pelajar baharu telah hadir untuk mendaftarkan kehadiran masing-masing. Seramai 182 orang pelajar mendaftar di USIM Nilai, manakala 28 orang pelajar mengikuti pendaftaran di UMS Sabah. Kehadiran yang ramai ini menunjukkan sambutan baik terhadap program DIJAP yang ditawarkan oleh USIM dengan kerjasama UMS.
Majlis dimulakan dengan kata alu-aluan oleh Prof. Dr. Muhamad Suhaimi Taat, Dekan Fakulti Pengajian Islam UMS di Sabah, diikuti dengan ucapan oleh Prof. Madya Dr. Nisar Mohamad Ahmad, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni mewakili Dekan FSU USIM. Ucapan yang disampaikan memberikan semangat serta motivasi kepada para pelajar untuk memulakan perjalanan baharu mereka sebagai pelajar DIJAP.
Seterusnya, pelbagai sesi taklimat diadakan bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar. Antara taklimat penting ialah daripada Pusat Pengurusan Akademik (PPA), System Development & Engineering Centre (SDEC), serta USIM Education & Skills Development Sdn. Bhd. (UESSB) yang memberi penjelasan mengenai aspek akademik dan pembangunan kemahiran. Pelajar turut diberi penerangan oleh Pustakawan USIM berkaitan kemudahan perpustakaan, manakala Jabatan Keselamatan USIM dan UMS mengingatkan pelajar tentang aspek keselamatan kampus.
Selain itu, USIM Healthcare Sdn. Bhd. (UHSB) memperkenalkan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan kepada pelajar, sebelum majlis diteruskan dengan taklimat oleh Penyelaras Program DIJAP USIM, Prof. Madya Dr. Mohamad Zaharuddin Zakaria, dan Penyelaras Program DIJAP Pesisir UMS, Dr. Asmidah Ahmad. Taklimat yang disampaikan berperanan untuk memberikan penerangan terperinci mengenai perjalanan program, struktur akademik, serta peranan penyelaras dalam membantu pelajar sepanjang pengajian.
Kemuncak program ini adalah sesi pendaftaran rasmi yang berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 2.00 petang. Sepanjang proses tersebut, pelajar diberi bimbingan dan panduan bagi melengkapkan pendaftaran tanpa sebarang masalah teknikal. Dengan jumlah keseluruhan 210 orang pelajar baharu yang berjaya didaftarkan, program ini menjadi titik tolak penting bagi mereka memulakan perjalanan akademik dalam bidang kehakiman dan guaman syarie dengan semangat baharu.