10 Disember 2024, Majlis Menandatangani Surat Pernyataan Hasrat (LoI) antara Persatuan Haiwan Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berlangsung di Galeri Animal Malaysia. Majlis ini diadakan untuk merasmikan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak, dengan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM sebagai peneraju utama dalam inisiatif ini.
Peneraju utama bagi kerjasama ini adalah Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, yang diwakili oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Mushaddad Hasbullah, Menjalankan Tugas Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM. Manakala, Persatuan Haiwan Malaysia diwakili oleh En. Arie Dwi Andika, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia.
Kerjasama yang dihasratkan antara USIM dan Persatuan Haiwan Malaysia bertujuan untuk meningkatkan pendidikan dan kebajikan haiwan, khususnya dalam bidang syariah dan undang-undang. Fokus utama kerjasama ini merangkumi pelbagai aspek termasuk latihan, penyelidikan, penulisan, persidangan, penganjuran program akademik, serta program advokasi haiwan yang melibatkan masyarakat.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Profesor Madya Dr. Ahmad Zaki Salleh, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, Profesor Madya Dr. Arif Fahmi Md Yusof, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Puan Arhaida Abdul Rahman, Penolong Pendaftar Kanan, serta Puan Siti Nabilah Syuhada Abdullah, Penolong Pendaftar (Penyelidikan dan Inovasi). Selain itu, Puan Nursyuhada Kamaruddin, Pengarah Latihan dan Kemahiran, Akademi Haiwan Malaysia juga turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.
Kerjasama ini diharapkan akan memberikan impak yang besar kepada kedua-dua pihak serta memberikan manfaat kepada negara dan masyarakat, khususnya dalam isu-isu yang melibatkan pendidikan dan kebajikan haiwan. Semoga usaha ini dapat mencipta perubahan positif dan menyumbang kepada kemajuan dalam bidang ini.