3 Oktober 2024, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Majlis Pendaftaran Diploma Kehakiman dan Guaman Syarie bagi lepasan ijazah. Majlis ini diadakan di perkarangan fakulti dengan kehadiran seramai 192 peserta. Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Menjalankan Tugas Dekan FSU, YBrs. Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah yang menekankan kepentingan pendidikan berterusan dalam bidang syariah dan undang-undang, serta peranan kursus ini dalam melahirkan profesional dalam bidang guaman syarie yang berkaliber.
Majlis turut dimeriahkan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh wakil-wakil dari pelbagai jabatan. Antaranya, Pusat Pengurusan Akademik (PPA) memberi penerangan tentang pengurusan akademik, manakala System Development & Engineering Centre (SDEC) berkongsi mengenai akses dan kemudahan sistem teknologi yang disediakan di USIM. USIM Education & Skills Development Sdn Bhd (UESB) serta Penyelaras Diploma Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) juga turut serta memberikan penerangan.
Selain itu, wakil dari Perpustakaan USIM mengulas mengenai akses kepada sumber pembelajaran, manakala Bahagian Keselamatan USIM menekankan aspek keselamatan kampus bagi memastikan keselesaan para pelajar sepanjang pengajian. Wakil USIM Healthcare Sdn Bhd (UHSB) juga mengambil kesempatan untuk memberi penjelasan tentang perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan kepada warga kampus.
Majlis ini berjalan lancar dengan komitmen daripada semua pihak yang terlibat. Ia menandakan permulaan perjalanan akademik bagi peserta yang berdaftar, dengan harapan agar mereka dapat menyumbang kepada pembangunan institusi kehakiman dan guaman syarie di masa hadapan.