Kota Kinabalu : Penawaran program Diploma Lepasan Ijazah-Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) secara pesisir di kampus Univesiti Malaysia Sabah (UMS) mampu membantu dalam melatih dan menghasilkan tenaga profesional yang berkelayakan dalam amalan kehakiman dan guaman syarie.
Program yang ditawarkan melalui Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu akan mula dilaksanakan bermula Oktober tahun ini.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, usaha ini adalah suatu langkah yang sangat relevan dengan keperluan semasa yang menjadi fardu kifayah dalam masyarakat Islam yang perlu ditangani bersama.
“Melahirkan pakar-pakar yang mahir dalam bidang ini dilihat memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam membentuk tenaga profesional dalam sistem kehakiman bagi tujuan keadilan secara menyeluruh sesuai dengan prinsip-prinsip syariat Islam.
“Ini juga dapat menggalakkan pemahaman yang mendalam tentang prinsip-prinsip syariah, selain menyokong pembangunan masyarakat sebagai ejen perubahan berteraskan akidah, syariah dan akhlak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena dengan pelancaran program tersebut yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Tan Sri Dr. Norzrul Thani Nik Hassan Thani di UMS.
Sumber: Sabah Media