NILAI, 9 DISEMBER 2025. Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) telah menganjurkan Majlis Sanjungan Budi dan Majlis Kenduri sebagai tanda penghargaan kepada YBrs. Prof. Emeritus Dr. Abdul Samat Musa yang telah tamat tempoh perkhidmatan sebagai felo akademik di FSU serta memperkukuh ukhuwah warga fakulti.
Majlis bermula pada jam 11.00 pagi dengan ketibaan para tetamu, diikuti ketibaan YBrs. Prof. Emeritus Dr. Abdul Samat Musa dan YBrs. Prof. Madya Dr. Abdul Manan Ismail, Dekan FSU. Majlis turut dihadiri oleh tetamu kehormat iaitu Profesor YBhg. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM dan YBhg. Datin Nor Azzah Momin, Ketua Pustakawan USIM.
Acara diteruskan dengan alu-aluan Pengerusi Majlis dan bacaan doa bagi memohon keberkatan serta kelancaran majlis. Seterusnya, ucapan alu-aluan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Abdul Manan Ismail, Dekan FSU, menzahirkan penghargaan kepada tokoh yand diraikan iaitu YBrs. Prof. Emeritus Dr. Abdul Samat Musa atas segala jasa dan sumbangan beliau semasa berkhidmat di FSU dan seluruh warga fakulti atas komitmen serta sokongan berterusan bagi menjayakan majlis ini. Majlis turut diserikan dengan tayangan multimedia yang memaparkan sorotan perjalanan dan sumbangan YBrs. Prof. Emeritus Dr. Abdul Samat Musa sepanjang beliau berkhidmat di FSU.
Majlis dimeriahkan lagi dengan sesi Cabutan Bertuah diadakan bagi menambahkan kemeriahan suasana. Kemuncak majlis adalah ucapan oleh YBrs. Prof. Emeritus Dr. Abdul Samat Musa yang sarat dengan nasihat, pengalaman dan inspirasi buat warga fakulti.
Majlis berakhir dengan sesi Penyerahan Mock Cheque Penjanaan FSU kepada Pengurusan USIM, melambangkan komitmen fakulti dalam memperkasa inisiatif penjanaan dan pembangunan institusi.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja menjadi platform menghargai jasa dan bakti, malah memperkukuh semangat kebersamaan serta budaya penghargaan dalam kalangan warga Fakulti Syariah dan Undang-Undang. Semoga ukhuwah yang terjalin terus subur demi kecemerlangan fakulti dan universiti.