NILAI, 5 DISEMBER 2025. Program Pertandingan Mut Perundangan Angkasa (PMPA) dan Persidangan Perundangan Angkasa Kebangsaan (PPAK) 2025 telah berlangsung dengan jayanya selama tiga hari bermula pada 5 hingga 7 Disember 2025. Program yang melibatkan kerjasama antara USIM, MOSTI, dan YIM ini bertujuan mengasah bakat mahasiswa dalam bidang perundangan angkasa serta membincangkan isu – isu terkini berkaitan tadbir urus angkasa di peringkat kebangsaan.
Tirai program dibuka pada Jumaat, 5 Disember 2025, dengan pendaftaran enam kumpulan pasukan bertanding. Selepas sesi taklimat peserta di Bilik Rajah Brooke 2, pusingan suku akhir telah dijalankan secara serentak yang berlansung di Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM. Hari pertama diakhiri dengan pengumuman keputusan pusingan danacara Coin Toss secara langsung bagi menentukan kedudukan pasukan untuk pusingan seterusnya.
Pada hari kedua, Majlis Perasmian Pembukaan telah disempurnakan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Abdul Manan Ismail, Dekan FSU di Moot Court FSU USIM pada jam 9.30 pagi. Sejurus selepas itu, pusingan separuh akhir berlangsung dengan sengit bagi memilih dua pasukan terbaik ke peringkat akhir. Di sebelah petang, tumpuan beralih ke Nilai Spring Resort bagi Persidangan Perundangan Angkasa Kebangsaan (PPAK) yang melibatkan ucapan aluan oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM dan perasmian oleh YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI.
Kemuncak program pada 7 Disember 2025 menyaksikan pusingan akhir yang gilang-gemilang di Dewan Tunku Canselor USIM. Pertandingan ini diadili oleh panel hakim terhormat yang diketuai oleh YABhg. Tun Zaki Tun Azmi bersama barisan pakar perundangan antarabangsa iaitu YABhg. Tan Sri Idrus Harun dan YBhg. Professor Emeritus Steven Freeland. Majlis Perasmian Penutup telah dihadiri oleh TKSU MOSTI, di mana acara penyampaian hadiah bagi kategori Johan, Naib Johan, Memorial Terbaik, dan Mooter Terbaik disempurnakan oleh TKSU MOSTI sebagai tanda pengiktirafan kepada kecemerlangan peserta.
Pasukan USIM bimbingan Dr. Fareed Mohd Hassan & Dr Amalina Mohd Tajudin, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang – undang USIM telah melakar kejayaan membanggakan apabila pasukan yang diwakili oleh Nurul Suraya Binti Zainal Abidin dan Nur Lutfiah Batrisyia binti Md Ali merangkul gelaran Naib Johan keseluruhan. Kecemerlangan pasukan tuan rumah diteruskan lagi apabila satu lagi pasukan yang diwakili oleh Siti Khadijah Binti Azman, Alia Antasya Binti Asrul Sani dan Muhammad Fakrurrazi Bin Md Suhada berjaya memenangi anugerah Memorial Terbaik bagi kedua-dua kategori iaitu Appellant dan Respondent.