PROGRAM PENGHAYATAN KOMUNIKASI KEHAKIMAN SYARIAH 2.0

//PROGRAM PENGHAYATAN KOMUNIKASI KEHAKIMAN SYARIAH 2.0

NILAI, 25 Jun 2025 – Persatuan Law and Society (LAWSOC), Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Program Penghayatan Komunikasi Kehakiman Syariah 2.0 bertempat di Dewan Kuliah Sederhana 1.5 (DKS 1.5), USIM. Program ini berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 1.00 petang dan disertai oleh para pelajar dari pelbagai program pengajian berkaitan undang-undang dan syariah. Inisiatif ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai bidang kehakiman Syariah sebagai prospek kerjaya masa hadapan. 

Majlis dimulakan dengan sesi pendaftaran pelajar seawal jam 11.00 pagi, diikuti dengan sarapan pagi ringkas. Tepat jam 11.15 pagi, majlis perasmian berlangsung dengan ucapan alu-aluan oleh Dr. Nurfadhilah Che Amani, Ketua Program Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah (SMUS). Ucapan beliau menekankan kepentingan komunikasi kehakiman serta peranan generasi muda dalam memperkasakan institusi kehakiman Syariah negara. 

Slot utama program bermula pada jam 11.45 pagi menerusi forum santai bertajuk Pentadbiran Kehakiman Syariah: Peluang Kerjaya. Forum ini menghimpunkan lima panel profesional yang berpengalaman dalam bidang kehakiman dan perundangan Syariah, iaitu Ybrs. Dr. Zulzaidi Mahmood, Puan Zalifiah Rusly, Tuan Rifauddin Abd Wahab, Puan Siti Zaidah Husain dan Puan Aqilah Syahirah Adam Tan. 

Forum ini menjadi platform bermanfaat bagi pelajar untuk memahami realiti kerjaya dalam sektor kehakiman Syariah. Setiap panel berkongsi pengalaman serta laluan kerjaya masing-masing, termasuk cabaran dan peluang dalam bidang ini. Forum ini juga memberi inspirasi kepada pelajar untuk lebih bersedia dan komited dalam menyumbang kepada pembangunan sistem kehakiman Islam di Malaysia. 

Program diakhiri dengan sesi soal jawab, di mana para pelajar berpeluang mengajukan pelbagai persoalan kepada panelisdiikuti dengan sesi fotografi kenangan. Program Penghayatan Komunikasi Kehakiman Syariah 2.0 ini berjaya mencapai objektifnya dalam memberi kesedaran dan kefahaman yang mendalam tentang peluang kerjaya dalam institusi kehakiman syariah, di samping mengukuhkan semangat pelajar dalam mengejar aspirasi kerjaya yang berteraskan keadilan dan syariat islam. 

2026-03-03T15:19:11+08:00