NILAI, 27 Mei 2025 – Program Green Harvest @ AGC 2025 telah berjaya dianjurkan bertempat di Dewan Kuliah Fakulti 1.1 (DKF 1.1) Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Fakulti Syariah dan Undang-Undang. Program ini merupakan inisiatif Jabatan Peguam Negara(AGC) dalam mendekati institusi pengajian tinggi bagi memberi pendedahan awal kepada para pelajar khususnya Pelajar Tahun 3 dan 4 Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah (SMUS) berkenaan fungsi dan peranan AGC serta prospek kerjaya dalam perkhidmatan undang-undang kerajaan.
Pengisian utama program melibatkan dua sesi interaktif yang amat bermanfaat. Sesi pertama disampaikan oleh YBrs. Tuan Muhammad Firdaus Zariza bin Abd Aziz, Peguam Kanan Persekutuan yang menerangkan peranan AGC dan laluan kerjaya dalamnya. Sesi kedua pula menampilkan YBrs. Tuan Kamal Baharin bin Omar, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan III, yang berkongsi pengalaman beliau sebagai pegawai undang-undang kerajaan. Penyampaian yang bersahaja dan penuh pengalaman menjadikan sesi ini sangat bermakna kepada para peserta.
Selain itu, program turut diselitkan dengan Kuiz Cambah Minda bagi mencabar dan menguji pengetahuan peserta berkaitan bidang perundangan. Majlis penutup berlangsung pada jam 12.00 tengah hari dan dirasmikan oleh YBrs. Tuan Kamal Baharin bin Omar, diikuti ucapan penutup oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Nisar Mohammad Ahmad, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FSU. Program diakhiri dengan sesi bergambar kenang-kenangan dan jamuan ringan.
Secara keseluruhannya, program ini telah memberi impak positif dalam meningkatkan kesedaran dan minat pelajar terhadap kerjaya guaman dan perkhidmatan perundangan awam. Penganjuran program sebegini wajar diteruskan sebagai salah satu usaha pendidikan luar bilik kuliah yang memperkukuhkan jalinan strategik antara agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi, serta membina kefahaman yang lebih mendalam terhadap sistem keadilan negara.