Wacana Ilmiah Malaysia at Helm : ASEAN, China and GLobal Realities

//Wacana Ilmiah Malaysia at Helm : ASEAN, China and GLobal Realities

NILAI, 27 Mei 2025 – Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Program Wacana Ilmiah Malaysia at Helm: ASEAN, China and Global Realities bertempat di Bilik Mesyuarat Utama Perpustakaan USIM. Program ini merupakan inisiatif Kumpulan Penyelidikan International Law Unit (ILU) yang bertujuan mengetengahkan peranan Malaysia dalam dinamika hubungan antarabangsa kontemporari.

Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Nisar Mohammad Ahmad, yang menjalankan tugas Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), USIM. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa forum ini bukan sekadar medan akademik tetapi sebuah ruang penting untuk mendalami transformasi undang-undang, politik, dan sosio-ekonomi serantau dan global.

> “𝘐𝘵 𝘪𝘴 𝘢 𝘳𝘦𝘧𝘭𝘦𝘤𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘰𝘧 𝘰𝘶𝘳 𝘶𝘯𝘪𝘵’𝘴 𝘵𝘦𝘯 𝘺𝘦𝘢𝘳 𝘫𝘰𝘶𝘳𝘯𝘦𝘺 𝘪𝘯 𝘢𝘤𝘢𝘥𝘦𝘮𝘪𝘤 𝘦𝘹𝘤𝘦𝘭𝘭𝘦𝘯𝘤𝘦 𝘢𝘯𝘥 𝘨𝘭𝘰𝘣𝘢𝘭 𝘭𝘦𝘨𝘢𝘭 𝘴𝘤𝘩𝘰𝘭𝘢𝘳𝘴𝘩𝘪𝘱”, ujar beliau sempena pelancaran buku “International Law Unit: A Decade of Internationalisation” yang menjadi sebahagian daripada agenda program.

Forum ini menampilkan dua ahli panel tersohor iaitu Associate Professor Dr. Benjamin Barton, Head of School dari Faculty of Social Sciences, University of Nottingham Malaysia dan Dr. Amalina Ahmad Tajudin, Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM. Pusingan wacana menyentuh isu-isu kritikal seperti hubungan geopolitik ASEAN-China, peranan Malaysia dalam kerjasama serantau serta dimensi undang-undang awam antarabangsa dari perspektif Malaysia.

Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Prof. Dato’ Dr. Rahmat Mohamad, seorang tokoh dan pakar terkemuka dalam bidang undang-undang antarabangsa, atas kesudian beliau hadir sebagai commentator utama program ini. Pandangan kritis dan kupasan beliau telah memperkayakan lagi perbincangan ilmiah serta membuka ruang baharu terhadap penilaian dasar dan aplikasi undang-undang serantau.

Apa yang lebih membanggakan, program ini turut disertai oleh wakil-wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Laut Malaysia, menandakan keterlibatan strategik antara sektor akademik dan penguatkuasaan undang-undang dalam wacana berkaitan dasar luar, keselamatan maritim dan hubungan serantau. Kehadiran mereka memperkukuh nilai praktikal forum ini dalam konteks keselamatan serantau dan kerjasama antarabangsa.

Program turut diserikan dengan sesi soal jawab interaktif dan diakhiri dengan sesi fotografi kenangan. Kehadiran lebih 40 peserta termasuk pelajar, pensyarah dan pegawai undang-undang menunjukkan minat yang tinggi terhadap perbincangan intelektual dalam bidang undang-undang antarabangsa serta menyokong objektif universiti dalam memartabatkan pengantarabangsaan ilmu.

Usaha ini sekaligus menegaskan peranan aktif USIM sebagai institusi pengajian tinggi awam yang komited dalam menyumbang kepada wacana ilmiah bertaraf global dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam medan antarabangsa.

2025-05-29T08:16:08+08:00