22 April 2025, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan program istimewa bertajuk Kuliah Undang-Undang dan Hal Ehwal Antarabangsa bertempat di Dewan Kuliah Fakulti 1.1, FSU. Program ini menampilkan Tuan Yang Terutama (TYT) Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi merangkap Profesor Adjung FSU, sebagai penceramah jemputan. Kuliah ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai aspek penting hubungan antarabangsa dan peranan undang-undang dalam diplomasi global.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani, yang berbesar hati menyampaikan ucapan aluan. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penguasaan ilmu undang-undang dan hal ehwal antarabangsa dalam memperkasa graduan USIM agar mampu bersaing di pentas dunia. Kehadiran Naib Canselor menzahirkan sokongan padu pihak pengurusan universiti terhadap inisiatif FSU dalam memperkasa pembangunan akademik dan profesionalisme pelajar.
Sebagai tanda penghargaan kepada TYT Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah atas kesudian beliau berkongsi ilmu dan pengalaman, satu sesi penyampaian cenderamata telah diadakan. Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani diiringi oleh Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Profesor Madya Dr. Mushaddad Hasbullah, telah menyampaikan cenderamata kepada TYT dalam suasana penuh penghormatan dan mesra. Majlis ini turut menjadi simbolik hubungan erat antara dunia akademik dan dunia diplomatik.
Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para pelajar FSU yang hadir. Mereka bukan sahaja berpeluang mendengar secara langsung pengalaman TYT dalam bidang diplomasi, malah turut mengambil bahagian aktif dalam sesi soal jawab. Kuliah ini bukan sahaja memperkaya ilmu pengetahuan pelajar dalam bidang undang-undang dan hal ehwal antarabangsa, malah membuka ruang jaringan akademik yang lebih luas bagi masa depan mereka. Mereka bukan sahaja berpeluang mendengar secara langsung pengalaman TYT dalam bidang diplomasi, malah turut mengambil bahagian aktif dalam sesi soal jawab.