Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri USIM 2025

//Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri USIM 2025

9 April 2025 Rabu, Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2025 telah berlangsung dengan penuh kemeriahan bertempat di Dataran USIM dengan bertemakan “Nostalgia Raya” sempena #25tahunUSIM. Turut berangkat ke Majlis ini, Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud serta Tunku Zain Al-‘Abidin. Kehadiran baginda berdua menyerikan suasana, selain mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan warga USIM.

Sebanyak 14 Pusat Tanggungjawab (PTJ) telah mengambil bahagian dengan menyediakan pelbagai juadah tradisional untuk para tetamu. Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) bersama Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) telah bergabung tenaga menyediakan hidangan istimewa Nasi Kerabu yang menjadi tumpuan pengunjung. Kreativiti dan kesungguhan setiap PTJ dalam menyediakan gerai bertemakan Hari Raya klasik mencerminkan semangat kebersamaan seluruh warga USIM.

Sempena majlis ini juga, Pertandingan Gerai dan Keterampilan Terbaik telah dianjurkan. Terdapat tiga kategori Gerai Terbaik dan dua kategori Keterampilan Terbaik yang dipertandingkan. Setiap gerai dihias dengan unik, kreatif, dan bertepatan dengan tema “Nostalgia Raya”, sementara keterampilan warga PTJ turut dinilai dari segi gaya dan keserasian dengan konsep yang diketengahkan. FSU dan IFFAH telah berjaya merangkul tempat kedua dalam pertandingan Gerai Glam Stall, iaitu kategori gerai yang paling ramai dikunjungi sepanjang majlis berlangsung.

Majlis ini bukan sahaja mencerminkan kemeriahan sambutan Hari Raya, malah menjadi platform bagi mengeratkan ukhuwah antara seluruh warga USIM. Semangat kerjasama, kreativiti, dan nostalgia yang dipamerkan menjadikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri USIM 2025 ini sebagai salah satu kenangan manis dalam sejarah sambutan ulang tahun ke-25 USIM.

2025-05-08T09:19:10+08:00