Bual Bicara Kehakiman dan Guaman Syarie: Menyingkap Realiti dan Cabaran Terkini

//Bual Bicara Kehakiman dan Guaman Syarie: Menyingkap Realiti dan Cabaran Terkini

17 Januari 2025, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan satu program ilmiah bertajuk “Bual Bicara Profesion Kehakiman dan Guaman Syarie: Realiti dan Cabaran Masa Kini”. Program ini berlangsung dari jam 8:30 pagi hingga 5:00 petang bertempat di Dewan Kuliah Fakulti 1.1 (DKF 1.1), FSU. Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan secara langsung kepada para pelajar dan warga akademik mengenai realiti sebenar profesion kehakiman dan guaman syarie di Malaysia.

Sesi pertama yang dimoderatorkan oleh Prof. Madya Dr. Hendun Abdul Rahman Shah menampilkan tiga tokoh utama dalam bidang kehakiman syarie iaitu YAA Dato’ Wan Mohd Zakri Wan Mohd, Ketua Hakim Syarie Terengganu; Tuan Atras Mohamad Zin, Pengarah dan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Melaka; dan Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar, seorang peguam syarie dan mediator. Perbincangan sesi ini memberi fokus kepada cabaran perundangan semasa serta perkongsian pengalaman sebenar yang dihadapi oleh para pengamal undang-undang syarie dalam menjalankan tugas-tugas kehakiman dan pendakwaan.

Sesi kedua pula dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Nisar Mohammad Ahmad dan diteruskan dengan pengisian daripada pegawai-pegawai kanan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan. Antara panel jemputan ialah Tuan Mohd Alimi Mohammed, Dr. Zulzaidi Mahmod, dan Puan Nurulakmar Mohamad Hilmi. Mereka berkongsi tentang isu pengurusan kes, peranan hakim mahkamah rendah syariah, serta kepentingan Unit Sulh dalam penyelesaian kes kekeluargaan Islam secara damai dan efisien.

Perkongsian daripada para panel memberi inspirasi dan pencerahan kepada para peserta tentang realiti profesion ini, seterusnya membuka ruang diskusi ilmiah yang konstruktif. FSU USIM komited untuk terus menganjurkan program seumpama ini demi melahirkan graduan Syariah dan Undang-undang yang holistik dan bersedia untuk menyumbang kepada sistem perundangan Islam negara.

2025-05-08T09:05:19+08:00