29 November – 1 Disember 2024, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), telah menganjurkan Bengkel Semakan Pelan Tindakan Halatuju (Akhir Tahun) 2024 serta Penetapan Pelan Tindakan dan Halatuju Tahun 2025. Bengkel ini diadakan dari 29 November hingga 1 Disember 2024 di Lexis Suites Penang, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Bengkel ini bertujuan menilai pencapaian tahun semasa dan merancang strategi baharu, bengkel ini disertai oleh semua jawatankuasa pengurusan utama FSU.
Bengkel ini bermula dengan pembentangan status kemajuan pelan tindakan 2024 oleh Timbalan Dekan, Ketua-ketua Program, Penolong Pendaftar, Penyelaras DIJAP, Penyelaras Penjanaan, Penyelaras Siswazah serta Penyelaras Kualiti FSU. Setiap sesi menyediakan ruang untuk perbincangan menyeluruh dan cadangan bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan pelan tindakan sedia ada. Kejayaan pelan tindakan tahun ini juga diukur berdasarkan sasaran yang telah dicapai, khususnya dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan perkhidmatan fakulti.
Fokus utama bengkel ini adalah untuk menetapkan hala tuju FSU bagi tahun 2025. Pembentangan pelan tindakan baharu oleh setiap bahagian menekankan elemen inovasi, pemerkasaan akademik, dan penambahbaikan sistem sokongan pelajar. Aktiviti ini memperlihatkan komitmen fakulti untuk memperkukuhkan kedudukan sebagai institusi unggul yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat berdasarkan prinsip syariah.
Rumusan bengkel disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah, yang menjalankan tugas Dekan FSU. Beliau menegaskan pentingnya kerjasama semua pihak dalam merealisasikan visi dan misi fakulti. Bengkel ini diakhiri dengan sesi lawatan dan perbincangan santai, yang berjaya meningkatkan semangat kesepaduan dalam kalangan peserta. Dengan perancangan rapi yang telah dibuat, FSU bersedia mengorak langkah ke arah kecemerlangan pada tahun mendatang.